KKM sumbang RM100,000 kepada Pengasih
Oleh AZMI NORDIN
21 April 2022
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menyumbangkan sebanyak RM100,00 kepada Pengasih Malaysia (Pengasih) bagi membantu pusat pemulihan itu yang sudah beroperasi lebih 30 tahun menampung tujuan kos-kos operasi dan aktiviti penghuninya.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, KKM sentiasa membantu membimbing penagih yang ingin berubah daripada terus terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
“Mereka ini bukan penjenayah tetapi pesakit, pesakit kita kena bantu dan saya selalu tekankan perlu dirawat dengan kasih sayang, tanpa kasih sayang itulah punca terjadinya macam-macam.
“Rumah Pengasih banyak membantu memulihkan dan membimbing (bekas penagih) ke jalan yang lebih baik ketika mereka tersilap haluan dulu,” katanya dalam sidang akhbar sebelum majlis berbuka puasa di rumah itu, di sini hari ini.
Beliau berkata, keunikan rumah pengasih tersebut ialah penjaga dan kaunselor pusat pemulihannya adalah mereka yang pernah terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan kembali berbakti kepada pusat itu.
“Saya percaya kalau diberi peluang kepada orang-orang yang terlajak ini bila dia patah balik, dia akan jadi lebih baik lagi, mereka jadi pemimpin kepada yang lain. Di Pengasih, mereka yang telah terlibat menjadi lebih baik dan membantu kawan-kawan yang lain.
“Malaysia mempunyai kadar depresi yang sangat tinggi, dalam kajian mobiliti 2019, seramai 500,000 dewasa mengalami depresi terutama masa pandemik,” ujarnya.