PENGASIH Malaysia Adakan Kunjungan Hormat ke SME Corp Malaysia
KUALA LUMPUR, 27 Januari 2026 – PENGASIH Malaysia telah mengadakan kunjung hormat ke ibu pejabat SME Corp Malaysia sebagai langkah memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik antara organisasi masyarakat sivil dan agensi kerajaan dalam usaha memperkasa pembangunan komuniti.

Sesi kunjungan tersebut telah disambut oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Polisi dan Koordinasi) SME Corp Malaysia, Tuan Haji Mohd Izham Abdullah, bersama pegawai-pegawai kanan agensi berkenaan. Pertemuan ini menjadi platform untuk memperkenalkan peranan dan fungsi PENGASIH Malaysia sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang aktif dalam usaha pemulihan, pencegahan serta pembangunan semula komuniti, khususnya melibatkan golongan rentan dan berisiko.

Dalam sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai pelbagai inisiatif yang berpotensi untuk dilaksanakan secara bersama. Antara perkara yang dibincangkan termasuk usaha memperkukuh program pembangunan kapasiti, latihan keusahawanan serta penyediaan peluang ekonomi kepada individu yang sedang menjalani proses pemulihan agar mereka dapat kembali menyumbang secara positif kepada masyarakat.
Selain itu, pertemuan ini juga membuka ruang kepada penerokaan kerjasama strategik yang lebih luas antara PENGASIH Malaysia dan SME Corp Malaysia dalam merangka program sokongan yang berimpak tinggi dan mampan. Inisiatif seperti ini dilihat berpotensi membantu memperkasa golongan sasar melalui pembangunan kemahiran, peningkatan daya saing serta peluang menjana pendapatan secara sah dan berdaya tahan.

Kunjungan hormat tersebut diharapkan menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua pihak dalam menyokong agenda pembangunan komuniti dan pemerkasaan ekonomi, selari dengan aspirasi untuk membina masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera.