PENGASIH Malaysia Terima Penghargaan pada Majlis Apresiasi Bintang Antidadah AADK Negeri Pahang 2025
KUANTAN – Sumbangan berterusan PENGASIH Malaysia dalam usaha pemulihan dan sokongan kepada bekas penagih dadah terus mendapat pengiktirafan apabila organisasi tersebut menerima Penghargaan Bintang Sahabat Kepulihan pada Majlis Apresiasi Bintang Antidadah AADK Negeri Pahang Tahun 2025.

Majlis berprestij anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang itu telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, dan berlangsung di Astana Grand Ballroom, Hotel Grand DarulMakmur, Kuantan. Pengiktirafan ini diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap peranan aktif PENGASIH Malaysia sebagai rakan strategik AADK dalam menjayakan agenda pemulihan dan reintegrasi sosial bekas klien dadah.

Penghargaan tersebut mencerminkan komitmen PENGASIH Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan pemulihan berasaskan komuniti, sokongan berterusan kepada klien selepas rawatan, serta kerjasama erat dengan agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan lain. Usaha ini selari dengan matlamat Dadah Terkawal 2025 yang menekankan pendekatan menyeluruh dan berfokuskan pemulihan insan.

Majlis Apresiasi Bintang Antidadah AADK Negeri Pahang Tahun 2025 menyaksikan penyampaian 15 kategori anugerah kepada pelbagai pihak, termasuk kerajaan negeri, NGO dan sukarelawan, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang dalam memerangi penyalahgunaan dadah. Pengiktirafan kepada PENGASIH Malaysia sekali gus mengukuhkan peranan organisasi tersebut sebagai antara tonggak penting dalam ekosistem pemulihan dadah di Malaysia