PENGASIH Malaysia, PROFIMA Perkukuh Kerjasama Sokong Pemulihan Pekerja Filem
KUALA LUMPUR – PENGASIH Malaysia mengadakan pertemuan rasmi bersama Presiden Persatuan Pekerja Filem Profesional Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh bagi membincangkan kerjasama strategik yang memfokuskan kepada kebajikan serta pemulihan pekerja industri perfileman yang terlibat dengan penagihan dadah.

Dalam perbincangan tersebut, PENGASIH membentangkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan berstruktur yang merangkumi program terapeutik komuniti, kaunseling individu dan keluarga, sokongan selepas rawatan (aftercare), serta latihan kemahiran dan reintegrasi sosial. Turut dicadangkan ialah mekanisme rujukan sulit bagi memastikan pekerja yang memerlukan bantuan dapat tampil mendapatkan rawatan tanpa stigma atau menjejaskan reputasi profesional mereka.

Kedua-dua pihak juga meneroka potensi kerjasama dalam penerbitan kandungan kesedaran seperti Public Service Announcement (PSA), dokumentari kisah pemulihan, drama bertemakan perjuangan melawan ketagihan serta program advokasi yang menekankan pendekatan rawatan berbanding hukuman semata-mata.

Pertemuan itu turut mencadangkan agar diadakan nota persefahaman (NoU) sebagai langkah susulan bagi memperkukuh kerjasama dan memastikan inisiatif kebajikan ini dapat dilaksanakan secara berterusan demi kesejahteraan pekerja industri perfileman negara.