
Lapan Warga PENGASIH Terima Anugerah MADAC New Leaf Award 2025
Putrajaya, 7 Julai 2025 – Persatuan PENGASIH Malaysia terus mengukir sejarah apabila seramai lapan orang warganya telah menerima Anugerah MADAC New Leaf Award 2025, satu pengiktirafan berprestij kepada individu yang berjaya keluar daripada kancah penagihan dadah dan seterusnya membina kehidupan baharu yang produktif serta memberi manfaat kepada masyarakat.
Anugerah ini telah disampaikan oleh Presiden MADAC (Malaysian Association of Drug Addiction Counselors), Encik Azman Mohamed dalam satu majlis penuh gemilang iaitu 3rd GMMH Cultural Nite Conference Dinner yang berlangsung di Royal Park Hotel, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Senarai penerima anugerah adalah seperti berikut:
- Hafizi bin Harun
- Haji Roslan Yahya
- Haji Mohd Zaidi bin Harun (Baina)
- Abdul Aziz bin Zaharudin
- Mohd Razman Rahmat
- Mohamad Firdaus Ahmad
- Jaafar bin Daud
- Abdullah Ghani

Kesemua mereka merupakan bekas penagih yang telah melalui proses pemulihan secara menyeluruh dan kini aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan serta advokasi pemulihan dadah bersama PENGASIH.
Ketua Penasihat Persatuan PENGASIH Malaysia, Dato’ Dr. Abd. Halim Mohd Hussin, ketika mengulas pencapaian ini menyatakan bahawa pengiktirafan yang diberikan oleh MADAC membuktikan bahawa program pemulihan berasaskan komuniti yang diamalkan oleh PENGASIH berkesan dalam membina kembali kehidupan bekas penagih.
“Mereka bukan sekadar pulih, tetapi telah menjadi agen perubahan dalam komuniti masing-masing. Ini adalah bukti bahawa setiap insan mampu berubah dan menyumbang semula kepada masyarakat,” ujar beliau.

Anugerah MADAC New Leaf Award merupakan inisiatif tahunan MADAC yang bertujuan mengiktiraf individu dalam pemulihan yang telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam mengubah hidup dan membantu orang lain keluar dari ketagihan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh barisan profesional dalam bidang kesihatan mental dan pemulihan dadah dari dalam dan luar negara, menjadikan ia satu platform penting untuk perkongsian ilmu serta penghargaan terhadap usaha pemulihan.